Jumat, 14 November 2008

Makna Dalam Konteks

Makna sesuatu perkataan yang diujarkan boleh diketahui dengan melihat konteks penggunaan perkataan itu.

Contoh : Tapak kasut sudah haus. (haus bermakna berkurangan tebalnya kerana banyak dipakai)
Saya berasa haus kerana cuaca panas. (haus bermaksud berasa kering tekak atau dahaga).

Kanak-kanak itu haus akan kasih sayang ibunya (haus bermaksud sangat ingin kepada).

Hubungan Makna dengan Kebudayaan

Penggunaan dan pemilihan perkataan juga berhubung dengan kebudayaan sesuatu masyarakat.

Contoh : aku : digunakan dalam hubungan yang rapat untuk menimbulkan kemesraan.
Saya : digunakan dalam hubungan biasa.
Patik : digunakan oleh orang biasa untuk merendah diri apabila berhubung dengan golongan raja.
Beta : khas untuk raja merujuk dirinya.

Perubahan Makna

Makna sesuatu perkataan itu akan berubah mengikut perubahan masa, teknologi dan hubungan sosial dalam masyarakat.

Contoh : menternak (makna lama : memelihara binatang darat)
(makna baru: termasuk memelihara hidupan air seperti ikan dan
udang)

taman (makna lama : tempat indah dengan tumbuhan bunga)
(makna baru : termasuk kawasan perumahan dan perindustrian)

rawat (makna lama : menjaga orang sakit)
(makna baru : termasuk memulihkan pokok sakit, barang-barang lama,
barang rosak, air kumbahan)

menyeberang (makna lama : dulu hanya untuk menyeberang sungai)
(makna baru : termasuk menyeberang jalan, dll)

belayar ( makna lama : pada masa dahulu semua kapal menggunakan layar)
(makna baru : tidak ada layar pun disebut belayar)



khalwat (makna lama : menyendiri dalam masjid/tempat suci untuk beribadat
kepada Allah)

(makna baru : berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang
bukan muhrim di tempat sunyi untuk tujuan maksiat).

Tuan (makna lama : untuk lelaki dan perempuan. Contoh Tuan kadi dan
Tuan puteri)

(makna baru : lelaki sahaja)


Bentuk-Bentuk Makna daripada Hubungan Semantik

1. Bentuk-bentuk makna yang timbul daripada hubungan semantik ialah sinonim, antonim, hiponim, meronim, polisim, homonim, homofon, dan homograf.
2. Sinonim merupakan kata yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama.

Contoh : cantik=indah
Hangat = panas
Percaya = yakin

3. Antonim merujuk kepada perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang berlawanan.

Contoh : langit lawannya bumi
Panas lawannya sejuk
Kuat lawannya lemah

4. Hiponim ialah kata yang mempunyai lingkungan dalam strukturmakna.

Contoh : perabot (mempunyai makna umum)
Kerusi, meja, almari, katil, sofa (mempunyai makna khusus)

Jadi kata perabot merupakan kata hiponim yang melingkungi benda-benda seperti kerusi, meja, almari, katil dan sofa.

5. Meronim ialah perkataan-perkataan yang menunjukkan hubungan sebahagian daripada.

Contoh : atap, dinding, lantai, tingkap, dapur ialah sebahagian daripada rumah dan oleh itu perkataan tersebut menjadi meronim kepada rumah.






6. Polisim ialah satu perkataan yang mempunyai makna yang banyak atau satu set makna.

Contoh : kata mentah mempunyai set makna yang berikut :

Masih muda (untuk buah-buahan)
Tidak masak (masakan)
Belum masak (makanan)
Belum diproses (bahan galian dan lain-lain)
Belum sempurna akal atau fikiran atau belum matang (untuk orang)

7. Homonim ialah dua kata atau lebih yang memiliki bentuk yang sama, sama ada dari segi sebutan, ejaan, atau kedua-duanya tetapi mempunyai makna yang berbeza.

Contoh : daki : kotoran yang melekat pada badan
Daki : memanjat (gunung, bukit)

8. Homonim terbahagi kepada tiga jenis iaitu :

Homofon : kata-kata yang sama sebutannya tetapi berbeza dari segi ejaan dan makna. Contoh : masa dan (media) massa.

Homograf : kata-kata yang sama ejaannya dan mempunyai sebutan yang berbeza. Contoh : semak (belukar), semak (meneliti dan memeriksa semula)
Perang (war), perang (warna blonde)